Pada hari ini dalam tahun 1642, satu perjanjian perdagangan telah ditandatangani oleh Sultan Kedah, Sultan Muhammad Shah dengan Syarikat Hindia Timur Belanda.
Perjanjian perdagangan ini dibuat bagi memperbaharui perjanjian lama yang kurang jelas bertarikh 6 Julai 1641 yang telah dipersetujui oleh Sultan Sulaiman Shah, ayahanda Sultan Rijaluddin dengan Belanda.
Kerajaan Kedah menandatangani perjanjian ini bertujuan bersahabat dengan Belanda dan bagi mengurangkan tekanan Kerajaan Siam, Acheh dan Portugis. Di samping itu juga untuk mengukuhkan kedudukan baginda dalam menghadapi ancaman dari dalam dan luar negeri. Sementara itu, bagi pihak Belanda, perjanjian ini telah memberi peluang kepadanya menguasai perdagangan di Kedah, terutama dalam memonopolikan perdagangan timah. Selain itu pihak Belanda berharap dengan perjanjian ini, ia dapat mengalihkan perdagangan di sepanjang pantai Tanah Melayu dan kepulauan Melayu ke Melaka.
Butir-butir perjanjian ini antara lain menyebut:
- Separuh dari keluaran bijih timah Kedah dijualkan kepada Belanda dengan harga tetap.
- Saudagar-saudagar Kedah tidak dibenarkan berniaga dengan saudagar Sepanyol atau lain-lain saudagar asing yang tidak biasa berniaga di Kedah.
- Sultan tidak boleh mengarahkan boleh mengeksport timah dengan menggunakan kapalnya sendiri kecuali setelah diketahui oleh Belanda mengenai segala butir muatan.
- Kapal-kapal yang keluar masuk ke Kedah mesti melaporkan kepada Sultan atau wakilnya dan Sultan hendaklah mengarahkan kapal-kapal yang tidak mempunyai pas kebenaran Belanda mendapatkan pas-pas berniaga di Melaka.
- Hanya pas-pas kebenaran yang ditandatangani oleh Jan Herman, Pengawal Perdagangan Belanda di Selat Melaka sah digunakan.
- Saudagar-saudagar Kedah boleh menukarkan timah dengan kain dari saudagar Belanda mengikut kain kesukaan yang mereka pilih.
Walaupun perjanjian ini lebih banyak menguntungkan pihak Belanda tetapi Sultan Rijaluddin masih bersetuju menerimanya kerana baginda sedar Belanda tidak dapat mengawal Kedah dengan sepenuhnya. Di samping itu dengan terus meterainya perjanjian ini telah meningkatkan perdagangan Kedah dengan saudagar-saudagar India, Sumatera, Jawa dan sebagainya kerana kedudukan Kedah yang kukuh dan jaminan keselamatan oleh Belanda.
R.O. Winsteadt, History of Kedah, Journal of the Straits Branch of Royal Asiatic Society, No. 81, The Straits Branch Royal Asiatic Society, Singapore, Mac 1920, hal. 32.