Friday, November 2, 2007

Kedah Yang Dilawati Abu Dulaf pada 940 TM.


Dalam tahun 940, Abu Dulaf al-Muhalhil berasal dari Bukhara singgah sendiri di Kalaha (Kedah) dan meriwayatkan bahawa:

"Apabila saya sampai di Kalah, saya dapati tempatnya amat indah dengan tembok-tembok kota, taman-taman bunga dan aliran mata-mata air dari bumi. Saya lihat lombong bijih timah yang tidak ada tolok bandingnya dalam dunia ini. Di dalam kota ada tukang-tukang membuat pedang "qala'I" iaitu pedang Hindi yang tulen…seperti di Negara China, terdapat orang-orang yang tidak menyembelih ternakan yang mereka makan. Penduduknya mempunyai sistem keadilan dan mempunyai penjara serta hukuman denda".

"Mereka makan gandum, buah kurma, sayur-sayuran yang ditimbang bila dijual dan roti yang dilonggok-longgok sahaja bila dijual. Mereka tidak mempuyai hamam tetapi mandi di sungai-sungai yang mengalir deras. Wang mereka ialah dirham perak…yang dipanggil 'fahri'. Mereka memakai kain 'al firand' (sutera) yang sangat mahal seperti orang-orang China dan menyebut Maharaja China di dalam Khutbah Jumaat dan qiblat Raja Kalah pun mengadap ke arah Maharaja itu…"(Paul Wheatley, 1961:217)

Abu Dulaf menyebut orang-orang di Kedah telah pandai menggunakan tepung gandum, buah kurma, roti dan sayur seperti orang-orang Arab. Tergambar bahawa kebudayaan Arab telah sedikit sebanyak terserap dikalangan orang-orang Melayu di sini. Mengikut Paul Wheatley dalam nota kecilnya di muka surat yang sama, dirham perak yang dipanggil "Fahri" itu ialah matawang yang digunakan di Khurasan, Utara Iran. Di Kedah dipraktikkan sistem 'barter' atau sistem hebah barang dengan barang dan "fahri" itu digunakan ketika amat perlu sahaja. Pedang "qala'i" yang ditempah di Kedah menjadi barangan eksport yang dikenali oleh orang-orang Arab sebagai "al-sayf al-Hind"

Abu Dulaf menimbulkan kekeliruan apabila menyebut bahawa Raja Kalah "…menyebut nama Maharaja China di dalam Khutbah Jumaat dan qiblat Raja Kalah pun Mengadap ke arah Maharaja itu…"

Abu Dulaf keliru melihat penduduk di Kedah yang beragama Islam tidak menyebut nama Khalifah Al-Muttaqi (940 - 944) yang baru bersemayam di Damsyik pada masa itu di dalam Khutbah mereka. Berita begitu belum sampai ke sini lagi. Mungkin orang Kedah menyebut nama Maharaja Sribuza (Sri Wijaya) atau lain yang didengarnya sebagai nama Maharaja China.
Maksud qiblat mengarah ke negara China ialah qiblat Raja Kalah atau Kedah dan bukan orang bersembahyang. Abu Dulaf memungkinkan bahawa agama Islam belum lagi dianuti oleh Raja Kedah sungguhpun rakyatnya telah Islam.