Thursday, November 1, 2007

PENDAFTARAN SABERKAS

Pada hari ini 21.07 dalam tahun 1945 sebuah pertubuhan politik Melayu yang ulung di Kedah telah diluluskan pendaftarannya oleh pemerintah Jepun dan Siam. Pertubuhan ini bernama Syarikat Bekerjasama Am Saiburi atau SABERKAS. Penubuhannya telah ditaja oleh beberapa orang Melayu yang terdiri daripada Encik. Ahmad Nordin, Encik Mohd. Jamil, Encik Mohamad Khir Johari, Encik Senu bin Abdul Rahman dan Wan Din.

Pertubuhan ini adalah satu-satunya pertubuhan politik Melayu di Kedah yang diasaskan oleh kesedaran betapa pentingnya orang Melayu bersatu bagi menentang penjajahan serta membela kedudukan ekonomi mereka yang mundur. Ini ternyata dalam kenyataan Encik Mohamad Jamil, yang berbunyi "Orang Melayu secara perseorangan dapat diibaratkan sebagai sebilah lidi yang mudah dipatah-patahkan. Tetapi bilah lidi yang seberkaskan menjadi penyapu, mereka agak susah hendak dipatah-patahkan". Oleh itu orang Melayu perlu bersatu demi kepentingan bangsa dan tanahair.

Apalagi dalam masa peperangan, orang-orang Melayu perlu melupakan segala perselisihan faham dan bersatu di bawah satu panji-panji SABERKAS. Kemunculannya juga adalah disebabkan oleh bertambahnya ancaman-ancaman komunis pada masa itu.

Tujuan-tujuan SABERKAS yang lain adalah seperti berikut:

(i) memperbaiki kedudukan ekonomi orang-orang Melayu di Kedah khususnya.

ii) membela nasib kaum buruh yang ditindas.

(iii) melipatgandakan pengeluaran pertanian untuk mengatasi kekurangan makanan yang dihadapi.

(iv) menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi.

(v) memelihara dan mengembangkan Agama Islam.

(vi) menubuhkan Lembaga Kebudayaan (Cultural Institute)

(vii) pemerintahan secara demokrasi.

Bagi memenuhi tujuan-tujuan ini, SABERKAS telah menubuhkan pelbagai jawatankuasa yang terdiri dari Jawatankuasa Kewangan, Siasah, Sosial, Ikhtisas, Pelajaran, Penerangan, Agama, Pergaulan, Kebudayaan dan Kaum Ibu.

Pada mulanya SABERKAS bergerak secara sulit dan ahlinya terdiri daripada orang-orang Melayu dari Alor Setar, Alor Janggus, Air Hitam, Jitra, Kuala Kedah, dan Langgar. Bagi melindungi pergerakannya daripada mendapat tentangan dari pemerintahan Jepun, SABERKAS telah bergerak sebagai badan kebajikan serta berdasarkan prinsip-prinsip syarikat kerjasama bagi menolong orang-orang Melayu.

Pertubuhan ini juga telah mendapat sokongan daripada pentadbiran Siam yang menganggapnya tidak mengancam kedudukannya. Keadaan ini dikuatkan lagi di mana ramai ahli-ahlinya terdiri dari pegawai-pegawai Melayu yang sangat-sangat diperlukan oleh pentadbiran Siam untuk melicinkan urusan-urusan pentadbiran3. Manakala penaungnya Tunku Abdul Rahman adalah anak kepada seorang raja yang disegani oleh pihak Jepun dan Siam.

Nyatalah SABERKAS satu-satunya pertubuhan politik Melayu yang muncul di Kedah yang direstui oleh pemerintah Jepun telah mula memainkan peranan bagi menyatukan orang-orang Melayu ke arah berkerajaan sendiri. Walaupun pertubuhan ini tidak dapat bergerak dengan cergasnya disebabkan oleh keadaan pada masa itu, tetapi sekurang-kurangnya ia telah memberikan kesedaran kepada orang-orang Melayu untuk bersatu bagi membela nasib mereka di masa hadapan.

Buku Pendaftar Syarikat-Syarikat Kedah, Minit Paper Office Syarikat 11/1364. 11/2488 dalam Baharuddin Abd. Majid, "SABERKAS, Pergerakan dan Perjuangannya, 1944-1956", Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, 1975/1976, m.s. 73. Sebenarnya ura-ura untuk menubuhkan sebuah persatuan ini telah bermula sejak tahun 1943 lagi dan telah aktif sebelum tahun 1945.
Sebenarnya beberapa nama seperti Pergerakan tahun Pemuda Kedah, dan Kesatuan Darulaman telah dicadangkan. Saiburi ialah perkataan Siam bagi nama negeri Kedah.

Terdapat beberapa orang ahli Kesatuan Melayu Muda dalam SABERKAS.

Sejak tahun 1948, SABERKAS telah mulai lemah. Sebab utama ialah kehadiran UMNO yang mempunyai cita-cita yang hampir sama dengan SABERKAS. Oleh kerana ini ramai ahlinya telah menyerap masuk ke dalam UMNO, misalnya Khir Johari, Senu Abdul Rahman dan Syed Jaafar Albar. SABERKAS telah lenyap sama sekali pada tahun 1954.

Lihat Baharuddin Abd. Majid, "SABERKAS", Bab VII.