Thursday, November 1, 2007

Sultan-Sultan Brunei.


Sultan-Sultan Brunei

Sultan Muhammad Shah (TM 1363 - 1402)
Sultan Islam Brunei yang pertama (sebelumnya terkenal dengan nama Awang Alak Betatar). Setelah berkahwin pada TM 1368 dengan Puteri Dayang Pingai iaitu Puteri Johor atau Temasek (Singapura Tua) Baginda dikenali dengan nama Sultan Muhammad Shah. Pada TM 1371, menghantar utusan ke China. Dalam catatan China Baginda disebut Ma–ha–mo–sha. Puteri Baginda, Puteri Ratna Dewi berkahwin dengan adinda kerabat Maharaja China iaitu, Ong Sum Ping (Pengiran Maharaja Lela). Baginda lindung pada TM 1402.

Sultan Abdul Majid Hasan (TM 1402 - 1408)
TM 1402, naik takhta. Tidak pernah disebut dalam Salasilah Raja-Raja Brunei tetapi ada dicatatkan dalam riwayat China. TM 1406, menghantar utusan ke China, orang Cina menyebut baginda Ma-na-je-ka-na. TM 1408, berangkat ke China dan lindung di sana ketika berusia 28 tahun, meninggalkan putera bernama Hsia-wang berusia 4 tahun.

Sultan Ahmad (TM 1408 - 1425)
Baginda naik takhta pada TM 1408, sebelum itu terkenal dengan nama Pateh Berbai. Pengiran Bendahara yang pertama bagi Brunei. Baginda disebut dengan gelaran Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara. Berkahwin dengan adinda Ong Sum Ping (Pengiran Maharaja Lela). Menjadi mertua kepada Sultan Sharif ‘Ali. Baginda lindung pada tahun TM 1425 dan digantikan oleh menantu Baginda, Sultan Sharif ‘Ali.

Sultan Sharif Ali (TM 1425 - 1432)
Sultan Sharif ‘Ali ibnu Sharif ‘Ajlan naik takhta pada TM 1425 bagi menggantikan mertua Baginda, Sultan Ahmad yang tidak mempunyai waris (putera). Baginda dijunjung untuk menjadi Sultan atas persetujuan pembesar-pembesar negara dan rakyat Brunei. Baginda keturunan Arab, berasal dari Taif. ‘Pedang Si Bongkok’ yang dibawa Baginda bersama ke Brunei itu membuktikan Baginda pernah menjadi Amir Makkah iaitu Al–Amir Sharif ‘Ali bin Sharif ‘Ajlan bin Sharif Rumaithah bin Sharif Muhammad Abu Numaie Al-Awwal, mempunyai jurai keturunan daripada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam melalui cucunda Baginda, Sayidina Hasan. Memandangkan jasa dan kearifan Baginda menyebarkan ajaran Islam maka Baginda dijodohkan oleh Sultan Ahmad dengan puteri Baginda, Puteri Ratna Kesuma. Baginda lindung pada TM 1432 dan digantikan oleh putera Baginda, Pengiran Muda Besar Sulaiman.

Sultan Sulaiman (TM 1432 - 1485)
Baginda naik takhta pada TM 1432 dan turun takhta pada TM 1485. Baginda lindung pada TM 1511 dan digantikan oleh putera Baginda, Pengiran Muda Bolkiah.

Sultan Bolkiah (TM 1485 - 1524)
Baginda naik takhta pada TM 1485. TM 1521, rombongan Ferdinand Magellan dan Antonio Pigafetta melawat Brunei. Pada zaman Baginda, pemerintahan Brunei bukan sahaja meliputi keseluruhan Pulau Borneo seperti Sambas, Tanjungpura, Kota Waringin, Banjarmasin, Pasir, Kutai, Bolongan dan lain–lain bahkan Pulau–Pulau Suluk, Palawan, Keramian hingga Saludang (Luzon) iaitu daerah-daerah yang sekarang dikenali dengan nama Filipina. Zaman pemerintahan Baginda ini dikatakan sebagai zaman keemasan Empayar Brunei. Permaisuri Baginda yang termasyhur bernama Puteri Laila Menchanai. Baginda lindung pada TM 1524, dikatakan kerana cucukan jarum emas yang digunakan oleh Puteri Laila Menchanai semasa menyulam pada waktu Baginda sedang beradu dipangkuan permaisuri itu. Baginda digantikan oleh putera Baginda, Pengiran Muda Tengah ‘Abdul Kahar.

Sultan Abdul Kahar (TM 1524 - 1530)
Baginda naik takhta pada TM 1524. Pada TM 1521, rombongan Ferdinand Magellan dan Antonio Pigafetta telah melawat Brunei semasa Baginda menjadi Pemangku Sultan. TM 1526 seorang Portugis bernama George de Menezes datang ke Brunei bertujuan hendak menjalankan perniagaan di samping mencari peliringan hendak menakluki Brunei. Tetapi memandangkan kekuatan Brunei ketika itu padu, dijangka agak sukar hendak dikalahkan maka maksud berniaga sahaja yang diteruskan. Sehubungan itu dia telah berjaya membuat perjanjian persahabatan dan perdagangan dengan Sultan Brunei. Sejak itulah Portugis mengimport lada hitam, sagu, ikan, beras, emas dan barang makanan yang lain dari Brunei ke Melaka; di samping menggunakan pelabuhan dan perairan, Brunei menjadi tempat persinggahan dan lalu lintas perkapalan mereka dari Cochin ke Melaka, dari Melaka ke Maluku dan sebaliknya. TM 1530, seorang pegawai Portugis lain bernama Goncalo Pereira telah datang juga ke Brunei untuk memerhati keadaan Brunei sambil berniaga tetapi perniagaannya tidak berkembang dan akhirnya lenyap. Walau bagaimanapun ulama–ulama Islam masih ramai datang ke Brunei. Baginda turun takhta pada TM 1530 bergelar Paduka Seri Begawan Sultan ‘Abdul Kahar. Baginda lindung pada TM 1578, dan digantikan oleh putera kakanda Baginda, Pengiran Anak Chuchu Besar Saiful Besar.

Sultan Saiful Rizal (TM 1533 - 1581)
Baginda naik takhta pada TM 1533. Pada TM 1578, Brunei telah diserang oleh Sepanyol di Manila. Serangan itu termasyhur dengan sebutan ‘Perang Kastila’ tetapi berjaya diundurkan oleh Pengiran Bendahara Sakam bersama Orang Kaya Harimau Padang, 100 orang pahlawan terbilang dan rakyat yang taat kepada Sultan. Pada tahun ini juga Masjid Jame’ Brunei dibakar oleh Sepanyol. Baginda lindung pada TM 1581 dan digantikan oleh putera Baginda, Pengiran Muda Besar Shah Brunei.

Sultan Shah Brunei (TM 1581 - 1582)
Baginda naik takhta pada TM 1581. Tidak mempunyai putera. Setelah Baginda lindung, pada TM 1582, diganti oleh adinda Baginda, Pengiran Muda Tengah Muhammad Hasan

Sultan Muhammad Hasan (TM 1582 - 1598)
Baginda naik takhta pada TM 1582. Zaman Baginda diadakan gelaran ‘Pengiran Di-Gadong’ dan ‘Pengiran Pemancha’. Menitahkan Pehin Orang Kaya Di-Gadong Seri Lela melanggar Milau (Sarawak). Baginda lindung pada TM 1598 dan digantikan oleh putera Baginda, Pengiran Muda Besar ‘Abdul Jalilul ‘Akbar.

Sultan Abdul Jalilul Akbar (TM 1598 - 1659)
Baginda naik takhta pada TM 1598. Pada masa menaiki takhta, Baginda dibantu oleh ayahanda saudara Baginda, Pengiran Di–Gadong Besar Osman. Pada TM 1599, mengadakan perhubungan dengan Sepanyol di Manila. TM 1600, Oliver Van Noort, peniaga Belanda datang ke Brunei. Baginda lindung pada tahun TM 1659.

Sultan Abdul Jalilul Jabbar (TM 1669 - 1660)
Baginda naik takhta pada 1659. Baginda berputerakan Pengiran Temenggong, Shamsuddin, Raja Gayoh. Baginda lindung pada tahun 1660.

Sultan Haji Muhammad Ali (TM 1660 - 1661)
Baginda naik takhta pada 1660. Takhta kerajaan Baginda direbut oleh Pengiran Bendahara ‘Abdul Hakkul Mubin kerana anaknya ditikam oleh Pengiran Muda Bongsu yang kalah bersabung ayam. Baginda lindung pada 14 Rabiulawal 1072 bersamaan 6 November 1661.

Sultan Abdul Hakkul Mubin (TM 1661 - 1673)
Baginda naik takhta pada 1661. Baginda merebut takhta kerajaan daripada Sultan Haji Muhammad ‘Ali, kemudian dibela oleh Pengiran Muda Muhyiddin sehingga terjadi perang saudara selama 12 tahun. Baginda lindung pada tahun 1673.

Sultan Muhyiddin (TM 1673 - 1690)
Baginda naik takhta pada tahun 1673. Mengambil alih takhta kerajaan daripada Sultan ‘Abdul Hakkul Mubin. Tahun 1685, berjaya mengatasi tipu helah angkatan Sepanyol yang berpura-pura datang melawat Brunei. Zaman Baginda, Datu Dakula datang ke Brunei untuk membela ayahandanya tetapi dapat diselesaikan oleh kekandanya, Pengiran Bendahara Pengiran Muda Amir ibni Sultan ‘Abdul Hakkul Mubin. Baginda lindung pada tahun 1690.

Sultan Nasruddin (TM 1690 - 1710)
Baginda naik takhta pada tahun 1690. Pada masa zaman Baginda, Dato Godam datang ke Brunei. Baginda lindung pada tahun 1710.

Sultan Husin Kamaluddin (TM 1710 - 1730) (TM 1737 - 1740)
Baginda naik takhta pada tahun 1710. Dua kali naik takhta dan akhirnya bersemayam di Luba. Pada masa zaman Baginda, negara makmur dan rezeki mudah diperolehi. Pernah mengeluarkan mata wang disebut ‘pitis’. Baginda lindung pada tahun 1770.

Sultan Muhammad Alauddin (TM 1730 - 1737)
Baginda naik takhta pada tahun 1730. Pernah mengeluarkan mata wang disebut ‘pitis’. Baginda lindung pada tahun 1737.

Sultan Omar Ali Saifuddien I (TM 1740-1795)
Baginda naik takhta pada tahun 1740. Pada tahun 1775, menitahkan Pengiran Temenggong Pengiran Ampa mengeluari angkatan Suluk yang diketuai oleh Datu Teting yang hendak melanggar Brunei dan berjaya mengalahkannya. Baginda lindung pada tahun 1795.

Sultan Muhammad Tajuddin (TM 1795-1804) (TM 1804-1807)
Baginda naik takhta pada tahun 1795. Dua kali naik takhta. Sultan Brunei yang pernah menghantar utusan ke China untuk memasarkan barang–barang Brunei di sana. Pernah menghantar utusan untuk berbaik-baik dengan Sepanyol di Manila. Baginda lindung pada tahun 1807.

Sultan Muhammad Jamalul Alam I (TM 1804)
Baginda naik takhta pada 26 April 1804. Berada di atas takhta selama kira–kira 7 bulan sahaja sebelum Baginda lindung pada 19 November 1804.

Sultan Muhammad Kanzul `Alam (TM 1807-1826)
Baginda naik takhta pada tahun 1807. Pada tahun 1821, mengeluarkan dan menurunkan wang ‘pitis’ ke padian. Tahun 1809, angkatan dari Inggeris yang diketuai oleh ‘Si Merah’ datang ke Brunei membawa kuyuk (anjing) besar dan garang untuk dilawan oleh orang Brunei dan dapat dikalahkan oleh Pengiran Muhammad Daud; kerana kejayaannya ia diarak menjadi ‘Pengiran Pemancha’. Dia juga berjaya menangkap harimau hadiah Sultan Terengganu yang terlepas daripada kandangnya. Pada tahun 1823, utusan Kerajaan Belanda datang ke Brunei. Pada masa zaman Baginda, Pengiran Muhammad Salleh diangkat menjadi Pengiran Indera Mahkota dan dititahkan memerintah Sarawak. Baginda turun takhta pada tahun 1826.

Sultan Muhammad Alam (TM 1826-1828)
Baginda naik takhta pada tahun 1826 iaitu semasa hayat ayahanda Baginda.

Sultan Omar Ali Saifuddin II (TM 1828-1852)
Baginda naik takhta pada tahun 1828. Pada tahun 1839, James Brooke datang ke Sarawak. Tahun 1842, James Brooke dilantik menjadi Rajah Sarawak. Tahun 1845, Baginda menyerahkan Pulau Labuan kepada Inggeris. Tahun 1846 angkatan yang diketuai oleh James Brooke menyerang Brunei. Tahun 1847, menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Perdagangan dengan Inggeris. Baginda lindung pada tahun 1852.

Sultan Abdul Momin (TM 1852-1885)
Baginda naik takhta pada tahun 1852. Tidak mempunyai zuriat. Pada tahun 1853, membuat perjanjian dengan James Brooke mengenai hak-hak kekuasaan kedua–dua belah pihak. Pada tahun 1856, membuat perjanjian dengan Inggeris mengenai perbicaraan rakyat Inggeris yang melakukan kesalahan jenayah dan pertelingkahan di Brunei. Pada tahun 1858, Pengiran Shahbandar Pengiran Muhammad Salleh terbunuh setelah dilemaskan oleh pengkhianat yang memusuhinya. Pada tahun 1877, membuat perjanjian dengan Gustavus Baron de Overback dan Alfred Dent mengenai pemajakan ke atas wilayah–wilayah Brunei di Sabah. Baginda lindung pada tahun 1885 ketika berusia lebih 100 tahun.

Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin (TM 1885-1906)
Baginda naik takhta pada tahun 1885. Pada tahun 1887, membuat permohonan bertulis kepada Kerajaan Baginda Queen untuk mengadakan Residen British di Limbang tetapi tidak dipersetujui oleh pihak Kerajaan Baginda Queen kerana masalah kewangan. Pada tahun 1888, membuat perjanjian dengan Inggeris dengan meletakkan pengawalan hubungan luar negeri Brunei di bawah pentadbiran Inggeris. Baginda lindung pada tahun 1906

Sultan Muhammad Jamalul Alam II (TM 1906-1924)
Baginda naik takhta pada tahun 1906, ketika berusia 17 tahun. Pada tahun 1906, penubuhan Pasukan Polis Brunei; Brunei mempunyai Bendera Kebangsaannya sendiri. Pada tahun 1911, Sekolah Melayu mula didirikan. Pada tahun 1922, rancangan pembangunan mula giat dijalankan. Pada masa zaman Baginda kerja–kerja cari gali minyak giat diusahakan. Pada tahun 1922 berpindah dari Istana Kampong Ayer ke Istana Majlis. Baginda lindung pada tahun 1924.

Sultan Ahmad Tajuddin (TM 1924-1950)
Baginda naik takhta pada tahun 1924 Dalam usia 11 tahun. Pada tahun 1927, merasmikan pembukaan jalan raya Brunei–Tutong. Pada tahun 1929, merasmikan pembukaan Rumah Sakit Bandar Brunei. Tahun yang sama minyak mula ditemui di Seria. Pada tahun 1932, berangkat melawat England dan Eropah. Pada tahun 1941, Jepun menduduki Brunei. Pada tahun 1945, Tentera Bersekutu mendarat di Brunei. Manakala pada tahun 1946, Lagu Kebangsaan Brunei mula digubah oleh Awang Besar Sagap dan senikatanya oleh Yura Halim. Pada tahun 1946, mengambil alih kuasa memerintah daripada British Military Administration (BMA). Tahun 1949, menyambut Jubli Perak 25 tahun pemerintahan. Baginda lindung pada tahun 1950.

Sultan Omar 'Ali Saifuddien III (TM 1950-1967)
Tahun 1947, diarak menjadi Pengiran Bendahara. Tahun 1950, naik takhta. Tahun 1951, menunaikan Fardhu Haji kali pertama. Tahun 1951, mencadangkan rancangan perpindahan bagi penduduk Kampong Ayer ke tanah darat; Lagu Kebangsaan Brunei ‘Allah Peliharakan Sultan’ diakui secara rasmi. Tahun 1953, mengemukakan cadangan bagi Perlembagaan Bertulis Negeri Brunei. Tahun 1953, mula menubuhkan Sekolah Inggeris; mula membina Masjid Besar di Bandar Brunei yang siap dalam Tahun 1958, dinamakan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. Tahun 1953, menerima Bintang Kebesaran daripada Duli Yang Maha Mulia Queen Elizabeth II yang membawa gelaran ‘Sir’. Tahun 1955, membuat Rancangan Kemajuan Negara Lima Tahun pertama. Tahun 1957, Radio Brunei memulakan penyiarannya. Tahun 1959, Syarikat Minyak Shell Brunei Sendirian Berhad memulakan pengorekkan minyak di luar pantai; menandatangani dan memasyhurkan Perlembagaan Bertulis Negeri Brunei di Lapau, Bandar Brunei. Tahun 1961, menubuhkan Pasukan Askar Melayu Brunei yang kemudiannya dikenali sebagai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; cadangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia). Tahun 1962, menunaikan Fardhu Haji kali kedua; pemberontakan meletus di Brunei. Tahun 1963, memutuskan Brunei untuk tidak bergabung dalam Malaysia. Tahun 1967, Brunei mengeluarkan mata wang sendiri. Lebih 33 kali berangkat ke luar negeri antara Tahun 1951 – 1967, Tahun 1967, menurunkan diri dari takhta kerajaan, bergelar Paduka Seri Begawan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien. Baginda lindung pada tahun 1986.

Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah (1967 - Sekarang)