Ketika Islam menyerang India lebih kurang dalam tahun 1000 sebuah kerajaan Hindu di pantai Koromandel bernama Chola mempunyai angkatan laut yang kuat. Perhubungan antara Srivijaya dan Chola dikira boleh tahan tetapi Chola tidak senang dengan undang-undang dan peraturan yang dikenakan oleh Srivijaya ke atas kapal-kapal asing dan dengan monopoli-monopoli ekonomi yang dipegang oleh Srivijaya di Nusantara. Serangan-serangan orang Islam di Utara India dan rancaknya saudagar-saudagar Islam: Arab dan Iran serta Melayu di Lautan India merimaskan Rajendra Chola.Dengan itu pada 1025, Raja Rajendra Chola menyerang Srivijaya dan menyebut bahawa Kedah yang menjadi sebuah dari pusat-pusat penting empayar itu dimusnahkan dengan teruknya.
Dalam bahasa Tamil yang digunakan oleh Rajendra Chola, Kedah disebut sebagai "Kadaram". Sebuah inskripsi di dalam sebuah kuil di Tanjor berbunyi:
"Beta Rajendra menghantar beratus-ratus kapal ke lautan bergelora telah berjaya menawan Sang Rama Bijaya Tungga Warman iaitu Raja Negeri Kadaram sekali dengan gajah-gajah angkatan perangnya yang sangat hebat. Beta telah merampas harta-harta yang amat banyak kepunyaaan raja itu yang dikumpulnya dengan jujur sejak beberapa lama."(Paul Wheatley, 1961 : 199-200)
Seterusnya inskripsi Tanjor mendaftarkan nama negeri-negeri dalam Empayar Srivijaya yang dimusnahkan oleh Rajendra Chola…Diantara negeri-negeri yang dapat dikenali ialah Pannai (Pane di Sumatera), Malayur (Jambi), Legor, Phanrang di Champa; Trang, Chaiyya di Thailand, Lamuri (Acheh), Pulau Nikobar dan Kadaram (Kedah).
Kedah telah disebut-sebut oleh Rajendra sebagai negeri yang paling hebat membuat tindak balas dan kita sedari ini terjadi kerana Kedah mempunyai paling ramai penduduk Islam. Dari serangan Chola, Kedah menjadi padang jarak, padang tekukur.
"Sebermula maka tersebutlah perkataan Pulau Langkapuri itu selama peninggal Perang Seri Rama dan Andanum jadi sunyilah pulau itu, tiada siapa-siapa duduk".
Beginilah gambaran peperangan antara Raja Chola dan Kedah yang terdaya dicatatkan oleh Hikayat Merong Mahawangsa.
Lebih kurang dalam tahun 1000 Masihi Syi'ah di Iran memulakan gerakan memburu orang-orang Ahli's Sunnah Wal Jamaah dari bumi Iran. Kedudukan orang-orang Ahli's Sunnah amat pincang dan terdesak sekali. Mereka terpaksa berhijrah besar-besaran ke tempat-tempat yang tidak diganggu gugat oleh Syi'ah.
Sebahagian dari orang-orang Ahli's Sunnah Iran sampai di Nusantara dan pada masa inilah Merong Mahawangsa atau Maha Raja Durbar Raja sampai di Kedah. Bumi Kedah dibakar oleh Chola masih berasap.
Hikayat Merong Mahawangsa menyebut bahawa Raja Kedah yang pertama ialah Merong Mahawangsa. Baginda menjadi duta Maharaja Rom untuk membawa Putera Raja Rom berkahwin dengan Puteri Maharaja China.
Dalam pelayaran, angkatan Merong Mahawangsa telah diserang oleh burung garuda di laut berhampiran Pulau Langkapuri. Angkatan Merong Mahawangsa yang "penuh laut" telah binasa melainkan kapal Merong Mahawangsa sendiri. Baginda terpaksa mendarat di pantai berhampiran kaki Gunung Jerai. Di situ baginda dirajakan oleh penduduk tempatan.
Negeri Rom yang dimaksudkan ialah wilayah Empayar Parsi atau Iran, satu masanya sebahagian dari wilayah Empayar Rom Timur. Kawasan ini sudah pun menerima Islam sejak zaman Khulafa-ur Rasyidin. Kepada orang-orang Arab bekas wilayah Empayar Rom di Utara Iran ini ialah "Rom". Di kawasan inilah orang-orang Iran dan orang-orang Turki silih berganti menegakkan beberapa buah kerajaan Islam yang kuat.
Burung Garuda ialah kenderaan Dewa Wisnu dan menjadi satu dari lambang-lambang agama Hindu. Angkatan Merong Mahawangsa tidak dapat dielakkan dari diserang oleh angkatan perang Hindu. Dalam KM 11 dan 12, serangan-serangan angkatan Hindu ke atas angkatan Islam di Laut India adalah fenomena biasa.
Merong Mahawangsa dikatakan telah berkahwin dengan seorang gadis Orang Laut dari suku Gergasi dan menggalakkan rakyatnya bercampur darah diantara kaum. Amalan ini bukanlah amalan orang beragama Hindu.
Mengikut "Al-Tarikh Salasilah", Raja Kedah yang pertama ialah Maharaja Durbar raja yang berasal dari "Negeri Gumarun di dalam Tanah Parsi". Baginda ditewaskan oleh angkatan suku Iran lain yang lebih kuat. Gumarun ini ialah sebuah pelabuhan Gambroon di Laut Kaspian sekarang. Dan kawasan ini telah memeluk Islam sejak zaman Khulafa-ur Rasyidin lagi.
Raja Kedah yang pertama telah memperkenalkan "Nobat" di istananya. Orkestra ini berasal dari istana Khalifah Harun al-Rashid di Baghdad. Alat-alat muziknya yang dikumpul bercorak Hindu dan Peribumi. Bagaimanapun, nobat adalah pakaian khalifah-khalifah Islam di Baghdad. Jadi Raja Kedah yang pertama, mengikut dua-dua buku ini ialah orang yang sudah kenal dengan kebesaran agama Islam dan ajaran-ajaran Nabi Muhammad S.A.W. walaupun tidak tercatat mereka memeluk Islam.
Maharaja Durbar membina istananya "Kota Langkasuka" di Sok, enam puluh batu ke timur Gunung Jerai berhampiran persimpangan jalan perdagangan Kedah dan Langkasuka.
Merong Mahawangsa pula mendirikan istananya di timur Gunung Jerai di tempat yang tidak dapat dipastikan tetapi amat berhampiran dengan Kuala Merbok iaitu tapak permulaan jalan menuju ke Langkasuka di Pantai Timur.
Dari persamaan ini dan persamaan-persamaan lain lagi boleh dikatakan bahawa Merong Mahawangsa dan Maharaja Durbar Raja itu raja yang sama.
Merong Mahawangsa lebih popular disebut orang sebagai raja yang pertama kerana hikayatnya lebih awal dan lebih meluas dibaca anak negeri. "Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah" ditulis oleh Muhammad Hassan hanya dalam tahun 1928.
Hikayat Merong Mahawangsa menceritakan bagaimana Islam diperkenalkan di Kedah. Kononnya seorang Wali Allah bernama Syeikh Abdullah di Baghdad mempunyai seorang murid yang bernama Syeikh Abdullah al -Yamani. Melalui pertolongan gurunya, Syeikh Abdullah al-Yamani dapat bersahabat dengan iblis.
Syeikh Abdullah diberi sebatang tongkat yang dapat menghilangkan dirinya dari penglihatan manusia apabila memegang tongkat itu. Iblis membawa Syeikh Abdullah terbang ke Kedah mengunjungi Raja Phra Ong Mahawangsa di istananya di Bukit Meriam. Di istana itu iblis mengharingkan minuman keras yang akan diminum oleh raja. Tuan Syeikh memarahi iblis kerana berkelakuan demikian dan timbullah satu pertengkaran kecil. Iblis bertindak merebut kembali tongkat saktinya dari Syeikh Abdullah dan Raja Kedah pun terlihatlah tubuh badan Syeikh Abdullah al-Yamani berdiri di hadapannya.
Syeikh Abdullah menerang satu persatu apa yang terjadi dan sejak itu Raja Phra Ong terus memeluk Islam, bertaubat tidak mahu minum arak lagi, dan mengubah nama baginda menjadi Sultan Muzaffal Syah.