Kemasukan Inggeris ke Tanah Melayu telah menjadikan politik tempatan sedikit kucar-kacir. Keadaan dalam negeri yang bergolak juga telah mengundang kuasa-kuasa barat untuk campor tangan dengan alasan menjaga kepentingan perdagangan syarikat-syarikat mereka. Pada hari ini 9 November 1862 satu lagi bentok campurtangan mereka dilakukan ke atas negeri-negeri Melayu apabila utusan Inggeris yang diketuai oleh Kolonel MacPherson sampai di Kuala Terengganu untuk menangkap Sultan Lingga, Raja Mahmud Muzaffar Shah. Utusan Inggeris yang datang dengan dua buah kapal perang itu meminta Sultan Terengganu, Sultan Umar menyerahkan Sultan Lingga dengan memberi tempoh 24 jam.
Sultan Mahmud Muzaffar Shah telah dipecat oleh pemerintah Belanda dari takhta Riau-Lingga pada bulan September 1857 kerana ingkar menuruti perintah Belanda. Baginda Sultan adalah dari keturunan Sultan Kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang. Setelah dipecat baginda telah pergi ke Singapura, Pahang dan Terengganu untuk meminta bantuan bagi mengambil balik takhta kerajaannya di Pulau Lingga tetapi gagal. Akhirnya bekas Sultan Lingga itu telah pergi ke Siam. Raja Siam menyambutnya dengan baik dan berjanji akan menolongnya.
Setelah sembilan bulan lamanya beliau tinggal di Siam, pertolongan seperti yang dijanjikan tidak diterimanya. Sebaliknya baginda telah dijadikan alat untuk mengembalikan kuasa kerajaan Siam di negeri Terengganu.
Dalam pada itu, Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Orfeur Cavenagh, telah mendapat maklumat menyatakan bahawa Sultan Lingga telah bertolak dari negeri Siam pada bulan Julai 1862 dengan sebuah kapal perang dan beliau akan dilantik menjadi Gabenor Siam di Terengganu dan Kelantan. Sir Cavenagh meminta Schamburg, wakil Inggeris di Siam menemui Menteri Luar Siam dan mendesak agar Sultan Lingga dipanggil pulang ke Siam demi menghormati Perjanjian Burney 1826, yang meletakkan taraf Terengganu sebagai negeri yang merdeka. Kerajaan Siam bersetuju untuk memanggil pulang bekas Sultan Lingga itu tetapi sehingga bulan Oktober 1862, tindakan tersebut tidak juga dilaksanakan. Pada bulan Oktober itu juga, Dewan Perniagaan Singapura telah menghantar surat memberitahu Gabenor Negeri-negeri Selat bahawa perniagaan mereka dengan Pahang telah terhalang disebabkan oleh serangan-serangan yang dilakukan oleh Wan Ahmad dengan bantuan dari Sultan Terengganu dan Sultan Lingga.
Bagi menghalang pengaruh Siam di Terengganu serta juga menjaga kepentingan perdagangan Inggeris Gabenor Cavenagh telah menghantar dua buah kapal perang Inggeris yang tiba di Terengganu pada hari ini dalam tahun 1862. Angkatan tersebut diketuai oleh Kolonel MacPherson. Permintaan Inggeris supaya diserahkan Sultan Lingga, telah tidak diendahkan oleh Sultan Terengganu, malah baginda menyuruh bekas Sultan Lingga itu, lari ke Besut. Akibat dari itu bandar Kuala Terengganu telah dibedil selama dua hari dan dikepung dua minggu.
Dalam hal ini Gabenor Cavenagh telah disalahkan. Raja Siam kemudiannya telah mengambil Sultan Lingga setelah 4 bulan menyembunyikan dirinya di Besut. Walau bagaimanapun Sultan Lingga telah datang lagi ke Terengganu dan kemudian ke Pahang dan mangkat di Pekan, Pahang pada tahun 1867.