Pada hari ini 23.3.1882, DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah telah disahkan perlantikannya sebagai pemerintah Kedah oleh Raja Siam.
Pengesahan ini adalah ekoran perbalahan yang timbul mengenai pewarisan takhta Kerajaan Kedah setelah kemangkatan Almarhum Sultan Zainal Rashid Muazzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukaram Shah.
Perbalahan bermula apabila Tunku Ziauddin (Tunku Kudin) mengepalai perwakilan Kedah ke Bangkok untuk memujuk Raja Siam melantiknya sebagai Sultan Kedah. Perkara ini telah ditentang dengan kerasnya oleh Tunku Yaakub, Wan Muhammad Saman dan Wan Hajar di mana mereka mahukan Tunku Abdul Hamid Halim Shah dilantik sebagai pemerintah Kedah.
Disebabkan oleh peranan Tunku Ziauddin semasa perang saudara di Selangor dan hubungan yang rapat dengan Inggeris, Raja Siam telah menolak permintaan Tunku Ziauddin untuk menjadi Sultan Kedah. Dengan kegagalan ini, Tunku Ziauddin kemudiannya telah mencadangkan pula Tengku Kassim untuk tujuan perlantikan tersebut.
Setelah perbincangan berjalan selama lima bulan, Rama IV iaitu pemerintah Negeri Siam pada masa itu, telah melantik Tunku Abdul Hamid Halim Shah sebagai waris takhta Kerajaan Negeri Kedah yang sah.
Dengan perlantikan Sultan Abdul Hamid Halim Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, pada hari ini dalam tahun 1882 bermulalah satu era baru dalam sejarah pembangunan dan kemajuan negeri Kedah di mana baginda kemudiannya dikenali sebagai 'Pengasas Kedah Moden'.