Friday, November 2, 2007

Kedah Sudah Islam Sejak 877 Masihi.


Orang-orang Arab dan Iran membuka tempat kediaman di tempat mereka berurusan. Begitulah yang terjadi di Kanton, Champa, India, Afrika dan lain-lain tempat. Mereka menjadi orang-orang yang dihormati dan berpengaruh dengan semua lapisan masyarakat.
Tidak dapat diragukan bahawa Islam telah sampai di Kedah dalam KM 9 dan mempunyai penganutnya dikalangan orang-orang Kedah. Dr. Syed Naguib al-Attas membuat andaian bahawa:

"Setelah orang-orang Islam membentuk kawasan kediaman yang agak besar di Kanton (sejak kurun Hijrah pertama atau KM 7 lagi) dan mereka menikmati kebebasan yang luas mengendalikan hal ehwal agama dan undang-undang awam sesama mereka, tentulah senang mereka mengekalkan urusan-urusan penempatan atau perkampungan mereka dan membentuk pula masyarakat Islam di Kedah dan juga di Palembang tempat mereka juga telah berhijrah dari Kanton itu. Penghijrahan ini wajar dikata sebagai satu petanda kedatangan Islam yang paling awal di Nusantara".(Syed Naguib al-Attas, 1969:11)

Pengembara China pernah menulis bahawa di Kedah didapati ramainya orang yang mempunyai nama berpangkalkan "Pu". Ahli kaji bahasa China bersetuju "Pu" itu ialah "Abu". Ini membuktikan bahawa Kedah mempunyai ramai orang Islam.

Sebatang nisan di perkuburan Kampung Tanjung Inggeris di Mukim Langgar berhampiran Alor Star terpahat nama "Syeikh Abdul Qadir ibni Hussain Shah Alirah" bertarikh 903 Masihi telah ditemui. Langgar ialah perkataan Iran Tua yang bererti sekolah atau surau tempat belajar agama. Syeikh Abdul Qadir ialah orang Iran. Perkataan "Alirah" itu tidak jelas jawinya mungkin "Shah Alam", atau mungkin "Syah Al-Yara" dan mungkin "Syah Kalahar". Jelas sudah ada perkampungan orang Islam dengan langgarnya di Langgar ini pada masa itu. Dan jika seorang Syeikh meninggal di sini tentulah ada pesantrennya.

Patut benar kita menemui kampung orang-orang Islam di Langgar ini kerana letaknya berhampiran dengan Sungai Kedah yang menjadi jalan rentas dari Kuala Kedah ke Patani dan terus ke China.

Di Lembah Bujang khususnya di Tapak 14, telah ditemui dirham perak zaman Khalifah al-Mutawakkil. Dirham yang ditemui tidak lengkap sekeping dirham, satunya tinggal separuh dan satu lagi cuma sesuku. Di atas sekeping separuh itu tertera tarikhnya 234 Hijrah, yang dikira sebagai 848 Masihi, zaman al-Mutawakkil di Baghdad.

Di Lembah Bujang juga, iaitu di Tapak 18 ditemui serpihan kaca yang apabila dicantum-cantum menyerupai setolop, lampu orang Arab KM 10. Banyak kaca yang ditemui dan mungkin banyak setolop dan corong-corong yang dibawa oleh orang Arab ke situ.

Beribu-ribu butir manik dalam pelbagai rupa dan bentuk dipungut oleh pengkaji purba di Lembah Bujang dan di Sungai Emas. Diantaranya terdapat juga manik-manik dari Timur Tengah. Selain dari merupakan perhiasan manik ialah juga alat penghebahan atau pertukaran barangan masa itu.

Diantara barangan yang dibawa oleh saudagar Arab dan Iran selalunya ialah kain tenunan atau sulaman, barang-barang kemas dari emas dan permata, cermin muka dari logam yang berkilat, rempah perubatan dan bau-bauan seperti narwastu dan ambar kasturi.
Seketul batu pejal berukuran 19 sm x 37 sm ditemui diantara longgokan batu-batu candi yang tersimpan di Muzium Arkeologi Lembah Bujang, di Merbok Kedah. Di atas batu tertulis dengan huruf Jawi "ibnu Sardan 213".

Adakah batu ini serpihan dari batu nisan atau petanda sempadan tanah tidak dapat dipastikan. Tarikh 213 bersamaan 829 Masihi. Ibnu Sardan ialah nama satu keluarga Arab yang dikenali sebagai ahli ilmu, ahli pelayaran dan pendakwah Islam. Antara nisan-nisan lama yang menarik di Kedah ialah nisan Tok Jambi di Bukit Tinggi, Tok Lidah Hitam di Langgar, nisan Makam Purba di Langkawi, nisan Tok Pasai di Kuala Kedah, nisan yang dikatakan kepunyaan Sultan Muzaffar Syah, Sultan Kedah yang pertama di Pengkalan Bujang - tetapi di Bukit Hijau, Baling; dan nisan-nisan lain di Siputeh, di Langgar, di Tualang dan di Sik, di Anak Bukit dan di lain-lain lagi.

Yang paling menarik ialah makam lama di Kampung Seberang Toh Soh berhampiran Pinang Tunggal, 9 kilometer dari Sungai Petani. Makam itu juga tiada bertarikh dan tiada bernama tetapi bentuk nisannya seperti kebudayaan pembesar Acheh. nisan kepalanya berpahat dengan Kalimah Syahadah dan beberapa ayat Quran.

Orang Kampung Seberang Tok Soh memanggilnya Makam Raja Bersiung kerana letaknya di sisi tapak sebuah kota tanah yang lama. Kepada orang-orang Kedah, apa sahaja yang dikira lama dan misteri dilekatkan nama 'Raja Bersiung' di situ. Bentuk nisan tanpa tarikh dan tanpa nama begini tetap utuh sebagai nisan yang bersejarah.