Negeri Kedah yang dibuka dalam KM 11 asalnya bernama "Kalaha". "Kalaha" itu ialah satu nama suku kaum Kurdi, iaitu penduduk asli Negara Iran yang membuyung ke Nusantara dalam KM 10 dan KM 11. Nama suku kaum ini ialah "Kalahar". Ketika suku kaum "Kalahar" bertapak di Kedah, suku lain berhijrah ke tempat lain di Nusantara.
Ahli-ahli sejarah pernah membuktikan bahawa kerajaan Pasai, Rokan, Kuntu dan Siak di Sumatera dibuka oleh orang-orang Iran yang beragama Islam sebelum 969 Masihi lagi. Terdapat di sana nesan-nesan yang berpahat dengan tulisan Pahlawi. Legor atau Nakhorn Si Thammarat telah dibuka oleh orang-orang Iran Kuno dan menamakan kota itu Jamguerd. Orang Arab menyebutnya Jamkut. Begitu juga perkampungan di Leren dekat Gerisik di Jawa Timur, dipercayai dibuka oleh orang Iran suku Lor. Zainab binti Maimun yang dikebumikan di Leren pada 1101 Masihi bertitisan dari Sulaiman al-Farisi.
Suku Kalahar tiba di Kedah dan menamakan tempat itu mengikut nama sukunya: Kalahar. Muhammad Hassan dalam "Al-Tarikh Salasilah.." menyebutnya "Kalaha". Orang Arab menyebutnya "Kalah". Suku -suku Kurdi berhijrah ke Nusantara bukan sahaja kerana berniaga tetapi juga kerana mencari tempat penghidupan yang damai dan tenang di tanahair mereka yang berkecamuk dengan huru-hara dan persengketaan. Rakyat Iran berhijrah ke Afrika, India, Timur Tengah, Timur Jauh dan New Zealand. Kepulauan Melayu atau Nusantara turut menjadi tumpuan.