Thursday, November 1, 2007

WAN MOHD. SAMAN MENINGGAL DUNIA

Pada hari ini 14.12.1898, Wan Mohd. Saman iaitu Perdana Menteri Kedah, telah meninggal dunia dan dimakamkan di Raja Langgar.

Beliau berkhidmat di negeri Kedah semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin dan meneruskan khidmatnya di bawah dua orang lagi pemerintah Kedah iaitu Sultan Zainal Abidin Muadzam Shah II dan Sultan Abdul Hamid Shah.

Wan Mohd. Saman merupakan pentadbir yang terkenal kerana jasanya membangunkan ekonomi negeri Kedah melalui projek-projek pertanian.

Beliau telah mengutarakan idea untuk membina sebuah terusan air di sepanjang Kota Setar ke Gurun pada tahun 1885, Terusan yang dikenali dengan nama terusan Wan Mohd. Saman ini akhirnya mengubah Kedah menjadi negeri Jelapang padi kerana kawasan yang dulunya berpaya berubah menjadi kawasan galian yang luas dengan hasil yang banyak. Di samping itu terusan ini juga berguna sebagai jalan pengangkutan perniagaan antara Alor Setar ke Sungai Petani seterusnya Butterworth. Di sepanjang terusan muncul perkampungan baru seperti Tandop, Simpang Empat, Guar Cempedak dan Gurun, malah terusan ini juga merupakan asas bagi pembinaan jalanraya utama di negeri Kedah.

Sesungguhnya, Wan Mohd. Saman banyak memberi sumbangan kepada kemajuan negeri Kedah. Dari itu memanglah wajar jika beliau digelar sebagai Bapa Pembangunan Negeri Kedah memandangkan jasa dan sumbangan yang diberikannya.