Thursday, November 1, 2007

PERJANJIAN FRANCIS LIGHT-SULTAN KEDAH 1791

Pada hari ini 20.04.1791, Sultan Kedah, Sultan Abdullah telah bersetuju membuat dan menetapkan syarat-syarat bagi satu perjanjian dengan kompeni Inggeris. Perjanjian ini ditandatangani oleh Tengku Shariff Muhamad, Tengku Alang Ibrahim dan Dato Penggawa Telebon (selaku wakil-wakil Sultan Kedah) dengan Francis Light (selaku wakil Kompeni Inggeris) di Fort Cornwallis, Pulau Pinang pada 1hb Mei, 1791.

Perjanjian ini mengandungi beberapa perkara antaranya:

a) Kompeni Inggeris akan membayar 6,000 ringgit Sepanyol tiap-tiap tahun kepada Sultan selagi Pulau Pinang menjadi hakmilik Inggeris.

b) Sultan bersetuju tidak akan menghalang atau mengenakan cukai ke atas apa-apa bekalan yang dibeli di Kedah bagi keperluan Pulau Pinang dan kapal-kapal Kompeni Inggeris.

c) Semua hamba yang lari dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah akan dikembalikan kepada tuan masing-masing.

d) Sultan tidak akan membenarkan mana-mana kuasa Eropah yang lain menduduki mana-mana tempat di Kedah.

Perjanjian itu amat penting kepada pihak Inggeris kerana ia merupakan dasar perundangan yang mengesahkan hakmilik Inggeris ke atas Pulau Pinang walaupun Inggeris telah mendudukinya sejak tahun 1786. Sebelum perjanjian itu ditandatangani Francis Light telah mendapat izin Sultan menduduki Pulau Pinang secara tidak rasmi sementara menunggu kelulusan dari London mengenai syarat yang menghendaki Syarikat Hindia Timur Inggeris memberi perlindungan tentera kepada Kedah.

Sultan Abdullah kalah dalam peperangan dengan Inggeris, oleh itu beliau terpaksa mengakui kekalahan dan berdamai melalui perjanjian yang dipersetujui pada hari ini dalam tahun 1791 dan ianya ditandatangani pada I hb Mei, tahun yang sama.