Thursday, November 1, 2007

Musuh Bisik 1821- 12.11.1821


Pada hari ini dalam tahun 1821, negeri Siam telah menyerang negeri Kedah. Dengan ini negeri Kedah telah mula ditadbir oleh Siam secara langsung selama 21 tahun.

Kedudukan Kedah yang berhampiran dengan Segenting Kra yang begitu strategik telah menarik perhatian kuasa-kuasa asing. Segenting Kra ketika itu merupakan kawasan yang boleh menghubungkan Teluk Benggala dengan Teluk Siam di mana barang-barang dagangan terpaksa dipunggah dan kemudian diangkut jalan darat untuk diedarkan ke kawasan-kawasan berhampiran termasuk ke negeri China.

Selain daripada itu negeri Kedah adalah sebuah kawasan pertanian dan perhutanan yang baik, dengan kesuburan sawah padi dan lada hitamnya. Kedah juga merupakan Pusat Pembina Kapal-kapal Perang dari kayu terpilih. Oleh itu tidak hairanlah pada abad ke-17 hinggalah ke abad ke-19 kerajaan Acheh, Burma dan Siam tertarik untuk menakluki Kedah. Untuk mengekalkan kedaulatannya, Kedah terpaksa mengamalkan dasar luar negeri suaifaedah. Dengan dasar ini Kedah hanya akan menerima kewibawaan kuasa asing dengan menghantar bunga emas dan perak setiap tahun. Cara ini menyelamatkan Kedah daripada diserang dan dijajah oleh kuasa-kuasa asing.

Peperangan selalu terjadi di antara dua musuh ketat iaitu Burma dengan Siam dan peperangan ini turut mengancam Kedah. Pada tahun 1818 satu lagi peperangan meletus di antara Burma dengan Siam. Angkatan tentera negeri Burma di bawah Alongpaya mula bergerak ke selatan menuju Kedah dan kawasan di Segenting Kra. Untuk menghadapi peperangan ini Siam mendesak Kedah supaya menghantar 300 koyan dan 100 buah perahu yang lengkap. Permintaan ini ditolak oleh Sultan Ahmad Tajuddin.

Sultan Ahmad Tajuddin telah menggunakan kesempatan ini untuk melepaskan Kedah daripada pengaruh Siam. Oleh yang demikian beliau menghubungi Raja Burma dan berjanji untuk memberi bantuan. Malangnya tindakan Sultan Ahmad Tajuddin telah diketahui oleh Tengku Amboon dan Gabenor Nakom Sinthamarat. Di akhir tahun 1820 Gabenor Nakorn Sinthamarat telah pergi ke Bangkok untuk mengadu kegiatan Sultan Ahmad Tajuddin di Kedah. Setelah mendapat desakan yang kuat akhirnya Raja Rama 11 bersetuju unluk menyerang negeri Kedah.

Pada bulan Februari 1821, negeri Siam telah mengerahkan 6,000 orang askar dan kapal perang melanggar Kedah. Pada hari ini dalam tahun 1821, Kuala Kedah telah digempur oleh kapal perang dan seluruh negeri Kedah pula diserbu oleh askar-askar negeri Siam. Sultan Ahmad Tajuddin lari menyelamatkan diri ke Pulau Pinang. Maka bermulalah pentadbiran Siam di Kedah untuk tempoh selama 21 tahun yang berakhir pada berakhir pada tahun 1842.


R. Bonney, Kedah 1771-1821, The Search for Security and Independence, 0.U.P., K.L., 1974, hal.156.
Buyong Adil, Scjarah Kedah, DBP, 1981 ms. 80.