Thursday, November 1, 2007

PERJANJIAN PERSAHABATAN DAN KEAMANAN INGGERIS-KEDAH

Pada hari ini 1.5.1791 Satu Perjanjian Persahabatan dan Keamanan telah ditandatangani antara Syarikat Hindia Timor Inggeris dengan Negeri Kedah. Perjanjian ini adalah perjanjian yang kedua di antara pihak Syarikat Hindia Timor dengan Sultan Kedah. Perjanjian ini ditandatangani berikutan dengan ketegangan hubungan diplomatik di antara Kedah dengan pihak Inggeris selepas perjanjian Inggeris-Kedah dalam tahun 1786 dan Inggeris menduduki Pulau Pinang.

Ketegangan ini bermula apabila pihak Francis Light melanggar syarat-syarat perjanjian tahun 1786 dengan tidak membuat bayaran tahunan kepada Kedah sepertimana yang telah dipersetujui. Keenggangan pihak Francis Light memulangkan kembali Tengku Puteri yang menderhaka kepada Sultan dan melarikan diri ke Pulau Pinang, juga keenggangan Kapten Light untuk melawat Sultan Kedah.

Di samping itu pada 12 April 1787 pula Kapten Light telah menyerang Kota Prai dengan mengejut. Ini telah menyebabkan Sultan Kedah amat murka dan terpaksa menilai semula kedudukan hubungannya dengan Inggeris. Sultan Kedah kemudiannya telah menghantar utusannya Tunku Sharif Muhammad, Tunku Alang Ibrahim dan Datuk Penggawa Telibun untuk berunding dengan Syarikat Hindia Timor.

Di dalam perjanjian ini kedua-dua pihak bersetuju dengan syarat-syarat perjanjian yang termaktub. Antara lain perjanjian tersebut ialah:

1. Kedua-dua belah pihak telah bersetuju supaya Syarikat Hindia Timor Inggeris membayar sebanyak 6,000 ringgit Sepanyol tiap-tiap tahun kepada Sultan Kedah selagi pihak Inggeris diberikan kuasa untuk menduduki Pulau Pinang.

2. Sultan Kedah pula bersetuju segala jenis barang-barang makanan yang dikehendaki oleh Pulau Pinang samada untuk kapal-kapal perang dan kapal-kapal Syarikat Hindia Timor boleh dibeli di Kedah tanpa dikenakan sebarang cukai.

3. Semua orang-orang yang berhutang dan melarikan diri dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah dan sekiranya mereka enggan membayar hutang tersebut mereka hendaklah dikembalikan semula kepada orang yang memberikan hutang.

Dengan termaktubnya perjanjian ini telah membolehkan Syarikat Hindia Timor Inggeris untuk lebih berkuasa dan bebas menjalankan kegiatan-kegiatan perdagangan.