Thursday, November 1, 2007

UTUSAN SULTAN PERAK KEPADA SULTAN KEDAH MENGENAI ANCAMAN SIAM

Pada hari ini 06.11.1814, Sultan Mansur dari Perak telah mengutus surat kepada Sultan Ahmad Tajuddin dari Kedah bahawa negeri Perak tidak akan tunduk kepada desakan Negeri Siam. Sultan Mansur juga menyatakan bahawa negeri Perak dan Kedah lebih baik bergabung tenaga bagi menentang penjajahan Siam itu.

Bagaimanapun Sultan Ahmad Tajuddin telah menolak cadangan Sultan Mansur, kerana berpendapat angkatan tentera Siam sangat sukar untuk ditewaskan. Oleh kerana itu Sultan Ahmad Tajuddin telah mengutus Seri Raja Lela ke Negeri Perak untuk memujuk Sultan Mansur supaya menghantar Bunga Emas dan Perak ke Negeri Siam, tetapi perutusan Sultan Tajuddin gagal menghadap Sultan Mansur kerana Sultan Mansur menaruh syak wasangka tehadap Sultan Ahmad Tajuddin selepas Perak gagal merampas daerah Kerian dari Kedah.

Akhirnya pada 15 Mei 1815 Sultan Mansur telah bersetuju menghantar Bunga Emas dan Perak kepada Raja Siam. Keputusan Sultan Mansur ini telah dapat menyelamatkan Negeri Kedah dan Perak daripada diserang oleh Negeri Siam.