Thursday, November 1, 2007

LAPORAN RASMI FRANCIS LIGHT TERHADAP TAWARAN SULTAN KEDAH KEPADA SYARIKAT HINDIA TIMUR INGGERIS DAN MULANYA CAMPURTANGAN DI KEDAH.

Pada hari ini 18.08.1771, suatu laporan mengenai tawaran dari Sultan Kedah iaitu Sultan Abdullah kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris telah dihantar oleh Francis Light ke ibu pejabatnya di Madras. Laporan tawaran itu meliputi kebenaran dari Sultan Kedah kepada pihak Inggeris untuk mendirikan pusat perniagaan di sepanjang pantai negeri Kedah dengan syarat Inggeris memberikan perlindungan kepada baginda dalam menentang ancaman dari Siam (di utara) dan dari Bugis (di selatan).

Pada mulanya Syarikat Hindia Timur Inggeris tidak begitu berminat terhadap tawaran Sultan Abdullah tersebut. Sehinggalah beberapa tahun kemudiannya setelah tawaran itu dikaji dan diteliti, Syarikat Hindia Timur Inggeris meminta Francis Light menghubungi Sultan Abdullah untuk membuka sebuah pelabuhan di sekitar bahagian Utara Selat Melaka iaitu di pantai Negeri Kedah.

Syarikat Hindia Timur Inggeris dan Sultan Abdullah akhirnya mencapai satu persetujuan, iaitu membenarkan Syarikat tersebut mendirikan sebuah penempatan di Pulau Pinang.
Dalam persetujuan tersebut terdapat beberapa syarat yang dikemukakan oleh Sultan Abdullah iaitu:-

1- Syarikat hendaklah membayar sebanyak $30,000 kepada Sultan Abdullah setiap tahun sebagai gantirugi di atas kehilangan perniagaan negeri Kedah akibat pembukaan sebuah pelabuhan di pulau tersebut, dan,

2- Syarikat hendaklah memberi perlindungan kepada Kedah dari ancaman luar.

Campurtangan Inggeris di Kedah telah membuka peluang baru kepada Inggeris untuk bertapuk di Pulau Pinang dan seterusnya berjaya meluaskan jajahan perdagangan di kepulauan Melayu.