Thursday, November 1, 2007

PENUBUHAN PERSATUAN ULAMAK KEDAH

Peranan orang yang pakar di dalam bidang agama ataupun lebih dikenali sebagai ulamak di negara ini telah terbukti sejak negara belum mencapai kemerdekaan. Soal-soal politik, ekonomi dan sosial sentiasa menjadi asas perjuangan di kalangan ulamak.

Pada hari ini 19.1.1946, Persatuan Ulamak Kedah telah ditubuhkan di Alor Star. Penubuhan Persatuan Ulamak ini lahirnya dari perhimpunan raksasa 50,000 orang yang terdiri daripada alim ulamak, ahli-ahli SABERKAS, Kesatuan Melayu Kedah, penuntut-penuntut sekolah pondok dan penanam-penanam padi.

Tujuan asal perhimpunan raksasa ini diadakan bagi membantah penubuhan Malayan Union dan menuntut kenaikan harga padi.

Mesyuarat penubuhan persatuan ini telah diadakan di Sekolah Maahad Mahmud, Alor Setar dihadiri oleh 100 orang ulamak. Mesyuarat yang diadakan telah melantik Haji Hussein Che Dol sebagai Yang Dipertua, Haji Abullah Abas Nasution sebagai Setiausaha dan Tuan Syeikh Abdul Halim sebagai penasihat Am Persatuan. Ahli Jawatankuasa terdiri daripada tokoh-tokoh ulamak tiap-tiap daerah di Kedah.

Persatuan Ulamak Kedah ditubuhkan dalam suasana kebangkitan semangat menentang Penubuhan Malayan Union dan Pergerakan Komunis yang terkenal pada masa itu sebagai Bintang Tiga. Tujuan utama penubuhannya ialah mengembangkan ajaran Islam, menyatukan Ulamak-ulamak di negeri Kedah khasnya dan Tanah Melayu amnya. Bekerjasama dengan Kerajaan, mengadakan sekolah-sekolah rakyat dan menggalakkan perniagaan dan perusahaan di kalangan orang-orang Islam.

Sejak penubuhannya, persatuan ini memainkan peranan yang penting tidak sahaja di bidang agama tetapi juga berkaitan dengan soal-soal seperti Kemerdekaan negara, soal sosial dan yang paling diutamakan ialah pendidikan kepada penduduk di negeri Kedah.