Friday, November 2, 2007

Pendapat Abu Zaid 916 TM dan Mas'udi 943 TM.

Pendapat Abu Zaid 916 TM Dan Mas'udi TM

Abu Zaid, seorang penduduk Siraf menulis dalam tahun 916 bahawa :

"Kalah menjadi wilayah Maharaja al-Zabaj (Sri Wijaya) terletak di antara China dan Tanah Arab… Pelabuhan Kalah menjadi tumpuan kapal-kapal dari Uman dan dari sini kapal-kapal bertolak ke Tanah Arab… Kalah ialah pusat perdagangan kayu gaharu, kapur barus, kayu cendana, gading gajah, bijih timah, kayu arang, kayu sepang, pelbagai jenis rempah ratus dan lain-lain barangan yang amat banyak hendak dihitungkan…"(Paul Wheatley, 1961:218)

Mas'udi yang menulis dalam tahun 943 Masihi mengenai penghijrahan saudagar-saudagar Arab dan Iran dari Kanton pada 877 Masihi ke negeri Kedah adalah seorang pengembara Islam yang banyak menulis. Dalam kitabnya bernama "Muruj al-Dhahab wa Ma'adin al-Jawhar" tertulis pada 943, beliau berkata :

"…di sekitar Kalah (Kedah) dan Sribuza (Sri wijaya) terdapat lombong-lombong emas dan perak, ikut jalan laut, Kalah terletak lebih sedikit dari setengah perjalanan antara Negara Arab dan Negara China. Hari ini Kalah menjadi tempat tumpuan saudagar-saudagar Islam dari Siraf dan Uman. Dari sini mereka menaiki kapal China untuk pergi ke Negeri China. Laut Kalah cetek dan sukar dipelayari serta banyak pula pulau-pulau kecil dan selat-selatnya."(Paul Wheatley, 1961:218-219)

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Kedah ialah sebuah pelabuhan besar yang disinggahi oleh saudagar-saudagar Islam Arab dan Iran dalam KM 9 dan awal KM 10 Masihi. Apabila memasuki pelabuhannya kapal-kapal hendaklah menggunakan jurumudi tempatan yang arif dengan laut Kedah.

Sejak 877 Masihi Kedah menjadi sebuah dari pelabuhan Sri Wijaya yang amat sibuk. Saudagar-saudagar Islam dan bukan Islam berkumpul di Kedah sebelum meneruskan pelayaran ke Negara China atau Palembang. Bagaimanapun, Raja Kedah tetap mengekalkan hubungan baik - politik dan ekonomi dengan Negara China.

Selepas penghijrahan 877 Masihi itu, orang-orang China bertindak melayari sendiri kapal-kapal mereka membawa dagangan keluar negeri. Dalam KM 8 dan KM 9 ini, ahli-ahli pelayaran China tidak belayar lebih jauh dari Kedah. Dibawah Dinasti Song dan Ming yang muncul kemudian barulah kapal-kapal China belayar ke tempat yang lebih jauh dari Kedah.