Thursday, November 1, 2007

PENGIRIMAN HADIAH SULTAN KEDAH KEPADA GABENOR PULAU PINANG

Pada hari ini 2.7.1818 Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin telah menghantar hadiah berupa 4 ekor burung kapada Gabenor Pulau Pinang, Kolonel Bannerman. Pengiriman ini dibuat oleh baginda sebagai tanda terima kasih kepada Kolonel Bannerman atas segala pertolongan beliau membebaskan negeri Kedah dari ancaman dan serangan Siam.

Sebelum ini, pada tahun 1816 Raja Siam telah mengarahkan, Sultan Kedah memerangi Sultan Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Siam juga meminta agar Sultan Perak menghantar bunga mas kepada raja Siam. Sultan Kedah enggan mematuhi perentah ini kerana baginda tidak mahu memusuhi Sultan Perak. Oleh itu baginda telah meminta pertolongan Gabenor Pulau Pinang untuk mengatasi masalah tersebut. Inggeris bersetuju menyelesaikan masalah tersebut dan Kolonal Bannerman juga mengambil kesempatan mengikat perjanjian dan mendapat perlindungan perdangangan bebas di Perak. Malah beliau juga berjaya memujuk Sultan Perak supaya bersetuju menghantar bunga mas kepada Siam.

Kejayaan Inggeris ini amat disenangi oleh Sultan Kedah. Ia bukan hanya dapat mengekalkan hubungan baik antara Kedah dengan Perak malah ia juga dapat menjamin sebarang kemungkinan serangan Siam terhadap negeri Kedah. Siam amat ditakuti pada waktu ini kerana ia giat berusaha meluaskan pengaruhnya ke atas negeri-negeri Melayu Utara.

Dengan kejayaan ini dan persetujuan Sultan Perak mengirim bunga mas pada Siam maka keselamatan Kedah adalah terjamin. Oleh itu pada hari ini dalam tahun 1818 Sultan Kedah mengirim hadiah kepada Gabenor Pulau Pinang sebagai tanda terima kasih.