Thursday, November 1, 2007

Sejarah Kedah - Antara Imaginasi dan Realiti



SEJARAH KEDAH
Antara Imaginasi dan Realiti

SAMBUTAN jubli emas Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menyaksikan pengisian melalui forum sejarah negeri Kedah yang dipengerusikan oleh Prof Madya Dr. Haji Mohd Isa Othman bersama tiga ahli panel yang terdiri daripada pakar dalam bidang sejarah, iaitu, Prof Dato Hajah Siti Hawa Salleh, Encik Nai Long Kassim Nai Long Ahmad dan Dato’ Dr. Haji Adi Haji Taha.
Sebelum forum tersebut berlangsung, DYTM Tuanku Raja Muda turut melancarkan tiga buah buku terbitan PSMCK termasuklah buku Sejarah Matawang Negeri Kedah dan Perlis, Warisan Mahawangsa Kedah dan Sejarah Kedah Dalam Syair. Forum yang bertajuk “Sejarah Kedah antara Imaginasi dan Realiti” itu turut dihadiri oleh pelajar sekolah sekitar Alor Setar. Antara yang berjaya dikupas oleh ahli panel berkenaan adalah realiti sejarah raja maha besar benua siam Kedah pasai ma.
Menurut sumber maklumat dari wasiat Nai Long Mahmud cucu Sultan Nai Long Luang Jaafar Mad Azam Syah, KEDAH ialah bahasa Siam yang berasal dari perkataan KEDAT yang bermaksud kertas. PSMCK dalam meniti gerbang usia emas ini turut menyingkap nostalgia penubuhannya pada 28 Julai 1956 lalu melalui pameran yang diadakan. Ia bermula daripada idea Persuruhjaya Tinggi British, Sir Geralad Templer yang mewujudkan Persatuan Sejarah Malaya pada 30 April 1954 di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Perasmiannya turut dihadiri oleh Sultan Kedah ketika itu DYMM Sultan Badlishah yang kemudiannya lahirlah PSMCK pada 28 Julai 1956.
Dalam usia meniti tahap kematangan itu, PSMCK secara tidak langsung membantu kerajaan Kedah dalam mengumpul maklumat berkaitan sejarah penting negeri ini. Pada 3 Febuari 1957, PSMCK di bawah pimpinan Tunku Nong Jewa telah berjaya menubuhkan sebuah muzium yang dikenali sebagai ‘Muzium Sejarah’ kemudian berpindah ke bangunan barunya di Bakar Bata, Alor Setar. Sebagai persatuan yang tertua dan mempunyai ramai ahli, PSMCK banyak bergiat dengan pelbagai aktiviti merangkumi penerbitan, lawatan, kebajikan, kaji selidik, bengkel dan ceramah serta aktiviti bersama kerajaan.